Nissan Serena S-Hybrid Talaan Impul mula masuk kepasaran Malaysia awal bulan lalu. MPV yang mampu memuatkan maksimum lapan orang penumpang ini, kini diberikan imej yang lebih bergaya dengan kit dari Impul, yang terdiri dari kit badan dan roda aloi Impul Aura SX-50 berdiameter 18-inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport 3. Tiada ubahsuai atau peralatan ditukar pada sistem suspensi, ketinggian Serena ini kekal seperti model standard dan tidak ‘menyusahkan’ pemandu untuk sentiasa merisaukan kit badan yang labuh disekelilingnya.
Kit Impul yang dipadankan untuk pasaran Malaysia ini tidaklah begitu agresif seperti model Serena Impul Premium Version yang dipamerkan di Tokyo Auto Salon awal tahun ini, tetapi ia masih dapat memberikan imej yang jauh lebih premium berbanding Serena versi standard.
Dua varian ditawarkan iaitu 2.0L Impul Highway Star dan 2.0L Premium Highway Star. Untuk galeri ini, kami bawakan anda varian Impul Premium Highway Star yan dijual pada harga atas jalan termasuk insuran RM160,477.12.
Terdiri dari kit aero Impul (RM6,360), satu set roda aloi Impul Aura SX50 (RM5,830), tayar Michelin Pilot Sport 3 bersaiz 225/45/R18 (RM3,339), liang sisi sport kemasan krom Impul (RM1,113) kemasan bonet krom Impul (RM848), keseluruhan kit ini dijual pada harga RM17,490.
Pemilik Nissan Serena S-Hybrid sebelum ini juga masih berpeluang untuk mendapatkan kit Impul ini secara berasingan. Tetapi tempat duduk balutan kulit Impul hanya dipadankan standard untuk varian Premium, dan tidak dinyatakan harga sebenarnya.
Model talaan Impul ini masih mengekalkan unit janakuasa asal Serena S-Hybrid tanpa apa-apa perubahan – dijana oleh enjin petrol MR20DD dengan sistem pancitan bahan api terus berkuasa 147 PS/210 Nm, dipadankan dengan sistem transmisi automatik Xtronic CVT, memacu roda hadapan.
Mazani Nissan Kuala Terengganu
0139900147
Sumber: paultan.org