Kota Jakarta yang tersenarai sebagai antara 10 ibu kota tersibuk di dunia, telah menguatkuasakan sistem ganjil-gelap sejak 30 Ogos lalu. Ia dilaksanakan di semua laluan utama di kota Jakarta bagi mengurangkan kesesakan trafik yang kian meruncing apabila dianggarkan hampir 20 juta kenderaan pelbagai jenis melalui kawasan tersebut.
Sistem ganjil-genap ialah peraturan membenarkan kenderaan memasuki jalan-jalan utama di kota Jakarta berdasarkan nombor plat terakhir yang dipadankan dengan haribulan sebagai menggantikan sistem minima tiga penumpang (3 dalam 1) di dalam kenderaan yang dilaksanakan sebelum ini, laporan Bernama.
Walau bagaimana pun, sejak ia diperkenalkan, sebanyak lebih 2,000 kenderaan telah dikenakan saman kerana melanggar peraturan itu. Di mana mereka yang melanggar peraturan itu boleh dikenakan saman dengan maksima Rp500,000 (kira-kira RM150).
Memetik kenyataan Ketua Polis Trafik Metro Jaya, Budiyanto yang dilaporkan oleh media tempatan, polis terpaksa mengambil tindakan tegas untuk mengeluarkan saman bagi memastikan sistem ganjil-genap itu dipatuhi.
Katanya, kebanyakan pemandu yang dikenakan saman itu memberi pelbagai alasan yang subjektif termasuk lupa dan kecemasan.
Beliau berkata, berdasarkan penelitian, sistem ganjil-genap itu didapati telah mengurangkan kesesakan lalu lintas dan perjalanan kenderaan lebih cepat di kota Jakarta.
Budiyanto bagaimanapun berkata jumlah mereka yang melanggar peraturan itu semakin berkurangan setelah mendapati ketegasan pihak berkuasa untuk mengawal lalu lintas di semua jalan-jalan utama itu.