Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) mengumumkan kehadiran Nissan Grand Livina dengan pakej IMPUL baharu telah pun berada di pasaran tempatan.
Tampil dengan gaya yang lebih versatil, sporty dan nampak agresif, Livina versi IMPUL ini telah dipertingkatkan dengan spoiler bampar hadapan baharu, lampu nyalaan Siang (DRL) LED signatur IMPUL, skirting sisi, wing spoiler belakang dan bampar belakang. Malah ia juga lebih menyerlah dengan kehadiran gril hadapan berwarna hitam, tambahan pada arca roda, dan rim aloi IMPUL HS-10 bersaiz 17-inci bersama kemasan krom serta warna hitam berkilat.
Penambahbaikan itu juga turut melibatkan pemasangan sistem suspensi IMPUL berprestasi tinggi. Terdiri daripada penyerap hendak serta pegas gegelung yang direka untuk merendahkan kenderaan sebanyak 25mm, ia mampu menawarkan pengendalian lebih mantap dan selesa.
Peredam ekzos tahan karat dengan kemasan berkilat bersama logo IMPUL yang dipasang pada paip ekzos melengkapkan lagi penampilan NISSAN Grand Livina ini.
NISSAN Grand Livina IMPUL baharu dipasang dari kilang dan ditawarkan dalam dua pakej iaitu IMPUL Complete Package dan IMPUL Premium Package. Semua pakej aksesori ini hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Bagi pemilik Livina sedia ada yang mahu menaiktaraf MPV masing-masing dengan mendapatkan pakej IMPUL ini bolehlah berkunjung ke mana-mana cawangan bilik pameran Nissan terdekat.