Home / Bahasa Malaysia
-
SPAD mempertimbangkan aplikasi ‘Meter On’ untuk pengguna akses butiran pemandu ‘e-hailing’
In Bahasa Malaysia, Berita Tempatan / By Izwaashura Sadali / / 0 comment
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sedang mempertimbangkan untuk memasukkan latar belakang pemandu ‘e-hailing’ dalam aplikasi ‘meter-on’ bagi membolehkan pengguna mengakses butiran pemandu sebagai langkah keselamatan.
Menurut CEO SPAD Mohd Azharuddin Mat Sah, buat masa ini, aplikasi berkenaan hanya menyediakan data pemandu teksi. Sejak 16 Jun lalu, SPAD mula menyemak latar belakang para pemandu perkhidmatan ini bagi memastikan mereka mempunyai rekod yang baik, laporan Bernama.
Beliau turut berkata SPAD juga akan terus mengguna pakai butang panik atau butang kecemasan (SOS) dalam perkhidmatan e-hailing bagi menjamin keselamatan pengguna dan pemandu itu sendiri.
Dalam masa yang sama, Azharuddin turut berkata, Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dijangka diwartakan pada Oktober ini.
Beliau berkata pindaan akta berkenaan, yang bertujuan mengesahkan perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Grabcar dan Uber sebagai perkhidmatan pengangkutan awam, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Julai lepas.
Selain pemandu, operator dan industri teksi, beliau berkata orang awam khususnya mereka yang bergantung sepenuhnya pada perkhidmatan itu akan mendapat manfaat daripada pindaan akta itu.
“Antaranya, pemandu perkhidmatan ‘e-hailing’ hanya perlu membuat pemeriksaan kenderaan di Puspakom setahun sekali berbanding dua kali setahun sebelum ini iaitu selepas tempoh tiga tahun pendaftaran di JPJ,” katanya pada sidang media semalam.
Pindaan itu juga mampu meningkatkan pendapatan pemandu melalui penggunaan harga tambang dinamik apabila menggunakan aplikasi ‘e-hailing’ atau kadar tambang teksi bermeter semasa mengambil penumpang di bahu jalan.
Buat masa ini, SPAD telah meluluskan 1,722 lesen individu daripada 3,474 permohonan sejak September 2016 hingga Julai lalu melalui inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) selain mengagihkan geran tunai kerajaan sebanyak RM2.15 juta kepada 431 pemandu.
-
PANDU UJI: Honda Civic Type R FK8 2017 – revolusi 25 tahun peralihan falsafah pembinaan jentera Type R
In Bahasa Malaysia, Pandu Uji / By Mohd Farid Awaludin / / 0 comment
Zaman 90’an merupakan era emas bagi dunia kereta berprestasi tinggi dari Jepun. Negara matahari terbit berkenaan mula membina kereta sport bermula penghujung era 50’an lagi, dan selepas itu ia mula berevolusi dari masa ke masa, sehinggalah mencapai bentuk paling sempurna sekitar era 90’an di mana budaya modifikasi JDM mula dijadikan satu ‘mazhab’ untuk diikuti oleh ‘abang-abang kereta’ di seluruh dunia.
Era berkenaan menyaksikan Nissan Skyline GT-R menerusi model R32, R33, dan R34 mula digeruni oleh kereta-kereta sport dari benua Eropah dan Amerika, diikuti oleh model-model heavyweight lain dari Jepun seperti Toyota Supra dan Honda NSX. Dalam pentas kejohanan Rali Dunia pula, pertarungan sengit antara Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX menyebabkan pengeluar-pengeluar lain kelihatan seakan tidak tahu bagaimana untuk menghasilkan kereta-kereta 2.0 liter turbo 4WD yang pantas.
Manakala untuk kelas enjin bawah dua liter tanpa induksi paksaan, Honda hadir dengan teknologi Variable Valve Lift and Electronic Control atau lebih dikenali sebagai VTEC – enjin yang berperangai seperti enjin biasa pada rpm rendah, dan tiba-tiba menjadi liar dan meraung seperti enjin perlumbaan sebenar pada rpm tinggi.
Enjin-enjin VTEC ini juga memegang rekod-rekod terbaik untuk enjin NA. Enjin F20C yang menjana roadster S2000 misalnya, ia merupakan enjin NA produksi yang menghasilkan kuasa kuda paling besar untuk setiap liter pada tahun 1999 hingga 2010, sebelum dipintas oleh enjin Ferrari pada model 458. Enjin-enjin terdahulu dari siri B juga tidak kurang hebatnya di mana unit 1.6 liter B16B pada Honda Civic Type R EK9 mampu menghasilkan 185 hp pada tahap 8,200 rpm dalam keadaan standard.
-
Perodua Axia yang dipandu jururawat terbabas kerana kucing, bukan masalah stereng terkunci – polis
In Bahasa Malaysia, Berita Tempatan / By Izwaashura Sadali / / 0 comment
Ahad lalu kecoh di laman media sosial apabila tularnya berita mengenai seorang jururawat yang mengalami kemalangan di daerah Kota Tinggi, Johor, selepas Perodua Axia yang dipandunya terbabas. Pada mulanya kemalangan ini didakwa oleh netizen, berpunca akibat stereng terkunci, namun ternyata ia adalah tidak benar sama sekali.
Kejadian yang menimpa Saidatul Atikah Shabandi, yang dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Semenchu dari FELCRA Sungai Layau, telah disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Kota Superintendan Ashmon Bajah, laporan Harian Metro.
Menurut siasatan yang dijalankan oleh pihak polis mendapati kejadian kira-kira jam 4.30 petang yang menimpa jururawat berkenaan tidak ada kaitan dengan kegagalan stereng kenderaan dipandunya. Sebaliknya berpunca apabila pemandu berkenaan mengelak daripada melanggar seekor kucing yang melintas dari kiri jalan.
“Kejadian itu menyebabkan kereta berkenaan terbabas ke kanan jalan dan menjunam beberapa meter di pekarangan sebuah rumah penduduk,” katanya sambil menambah siasatan lanjut masih dijalankan dan mengesahkan tiada penghuni rumah yang mengalami kecederaan dalam insiden itu.
Tuduhan netizen yang mendakwa kereta buatan Perodua semakin kurang berkualiti hingga menyebabkan stereng boleh terkunci secara tiba-tiba ketika memandu adalah tidak berasas sama sekali. Malah kejadian yang pernah berlaku sebelum ini yang juga melibatkan kemalangan jalan raya juga didakwa berpunca daripada stereng model yang sama terkunci. Namun ia disangkal sama sekali oleh Perodua selepas menjalankan siasatan rapi mengenainya.
Malah salah satu kejadian yang berlaku pada pertengahan November lalu yang turut didakwa berpunca daripada kegagalan stereng berfungsi dengan sempurna, hasil siasatan Perodua mendapati keempat-empat tayar pada kereta yang terbabit dengan kemalangan tersebut botak, dengan tiga daripadanya hanya tingga 1 mm kedalaman bunga.
Jadi diharap rakyat Malaysia khususnya netizen dan jaguh papan kekunci (keyboard warrior) tidak cepat melatah dan membuat andaian yang bukan-bukan. Sebaliknya, biarlah pihak yang berwajib termasuk pengeluar kenderaan (waima apa jua model kenderaan sekali pun) yang melakukan siasatan sewajarnya. Bukannya membuat tuduhan melulu yang akhirnya tersalah penghitungan.
-
Range Rover Velar dari penggayaan Urban Automotive
In Bahasa Malaysia, Berita Antarabangsa / By Hazril Hafiz / / 0 comment
Sebelum ini, Luma Design telah memperlihatkan penawaran ubah suai mereka dengan badan yang lebih lebar bagi Range Rover Velar. Kini ada satu lagi pendekatan baru bagi reka luaran model sama ditunjukkan; Urban Automotive pula memberikan sentuhan versi mereka sendiri.
Perubahan yang dilakukan antaranya ialah mengantikan bampar depan dan belakang dengan penggunaan gentian karbon. Bampar belakang juga hadir dengan bahagian splitter yang terdedah dengan penyudah dalam warna lutsinar. Bahagian masukan udara di depan juga ditampilkan, manakala masukan di bahagian sisi pula datang dengan lampu nyalaan siang.
Diffuser di belakang turut menempatkan hujung ekzos aluminium serta penutup bahagian injap ekzos dengan penyudah hitam satin. Semua ini tambahan daripada kit yang disediakan oleh Urban Automotive. Bahagian bumbung Velar ini juga diberikan dua kemasan penyudah; dalam warna hitam satin dan hitam berkilat.
Ia dilengkapi pula dengan rim 23-inci aloi. Menurut Urban Automotive, versi Range Rover Velar yang diperkemas ini akan ditawarkan bermula November nanti, dengan serahan kepada pelanggan dijangka dilakukan pada bulan berikutnya.
Buat masa sekarang, Urban Automotive akan mengenakan perubahan visual bagi varian petrol; dilaporkan syarikat itu telah membeli 14 unit Velar untuk tujuan berkenaan. Tiada harga dinyatakan, dan versi petrol yang dimaksudkan itu akan menggunakan enjin 2.0 liter Ingenium empat-silinder dengan kuasa 250 PS, atau enjin 3.0 liter Supercharged V6 dengan kuasa 380 PS.
-
MINI Clubman Sterling Edition dilancarkan di Malaysia – terhad 20 unit, harga anggaran RM268,888
In Bahasa Malaysia, Berita Tempatan / By Izwaashura Sadali / / 0 comment
MINI Malaysia telah pun mengumumkan kehadiran MINI Clubman Sterling Edition baharu di pasaran Malaysia. Dibina khas dengan nilai estetik yang tiada tandingan dan cukup elegan, MINI edisi terhad baharu itu merupakan ekspresi sebenar kereta lelaki budiman yang moden. Didatangkan dengan 20 unit terhad sahaja, ia hanya dibuka untuk tempahan secara dalam talian di www.mini.my/sterlingedition, pertama seumpamanya dalam industri automotif Malaysia mulai 15 hingga 26 Ogos ini.
Menawarkan nilai estetik dan elegan yang tiada tandingannya, MINI Clubman Sterling Edition baharu direka dengan penuh emosi bersama gabungan warna sofistikated dan material diadun bagi mencipta karekteristik untuk lelaki moden yang budiman, sofistikated dan yakin.
Ia dihiasi dengan warna badan perak (Melting Silver) bersana perumah cermin sisi dan bumbung diwarnakan hitam (Matte Black Jack). Selain itu, ia diserlahkan lagi dengan simbol Black Union Jack pada bahagian scuttle sisi bagi mengingatkan asal-usulnya dari Britain. Ditambah pula dengan rim khas MINI Yours Masterpiece bersaiz 18-inci didatangkan dalam warna hitam.
Malahan karakteristiknya juga cukup terserlah dengan garisan yang lebih jelas dan kontras. Malahan bahagian dalaman MINI Clubman Sterling Edition juga diserlahkan dengan kombinasi warna biru (Indigo Blue) dan merah bata (Pure Burgundy). Ruang kabin berwarna Pure Burgundy itu juga hadir dengan ciri iluminasi MINI Yours yang membolehkan pemilik untuk memilih 12 warna yang telah ditala ke bahagian kemasan, untuk disesuaikan dengan mood dan kecenderungan pemandu serta penumpangnya.
Ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan upholsteri kulit lembut dan mewah Chester berwarna biru yang dihasil untuk memberi keselesaan kepada tangan pemandu melalui jahitan berbentuk diagonal. Bukan itu sahaja, reka bentuk tempat duduk sport itu menyerlahkan warisan British pada MINI. Pada masa yang sama memberikan interpretasi yang kontemporari ke atas karekteristik corak berliannya.
Roda sterengnya juga dibaluti kulit Nappa yang lembut dan disempurnakan lagi menerusi jahitan tangan berwarna aluminium. Di bahagian bawah stereng, terdapat lencana union jack yang menjadi signaturnya.
MINI Clubman Sterling Edition baharu ini turut dilengkapi dengan MINI Connected iaitu sistem infotainmen yang tercanggih. Ia juga hadir dengan skrin LCD resolusi tinggi 6.5-inci yang dipasang pada bahagian tengah speedometer bersama grafik yang menghiasi sekelilingnya. Antara muka Spotify yang intuitif juga ada pada skrin MINI, manakala semua fungsi kawalan mudah diakses menggunakan MINI controller yang kecil tetapi padat dengan pelbagai ciri.
Sebagai tambahan, maklumat standard seperti penggunaan bahan api semasa, jarak minyak sekarang dan lokasi terakhir boleh dilihat menerusi aplikasi telefon MINI Connected.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan sistem navigasi dan kemudahan Bantuan Parkir untuk memudahkan pemandu meletakkan kenderaan ke dalam ruang parkir selari secara automatik. Fungsi kawalan jarak parkir mengukur ruang kosong di antara dua buah kereta ketika kereta dipandu. Sebaik sahaja ruang parkir yang sesuai ditemui, MINI akan mengarahkan pemandu untuk berhenti. Kelajuan boleh dikawal melalui panduan yang dipaparkan pada skrin menggunakan stereng automatik. Mengundur masuk atau keluar dari ruang yang sempit kini semakin mudah kerana kamera undur memberikan paparan jelas tentang apa yang ada di belakang pemandu.
Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder dengan kuasa 192 hp dan tork 280 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan-kelajuan. Dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.1 saat dan kelajuan maksimum yang mampu dicatatkan pada 228 km/j. Manakala penggunaan bahan apinya dianggarkan 5.9 liter bagi setiap 100 km.
Ditawarkan pada harga anggaran atas jalan RM268,888 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran peribadi, MINI Clubman Sterling Edition baharu didatangkan dengan waranti empat Tahun tanpa perbatuan terhad dan Servis Berjadual Percuma.
Selain itu, seperti mana model MINI baharu yang lain, ia turut dilindungi oleh program Bantuan Tepi Jalan selama lima-tahun yang terbaharu daripada MINI Malaysia. Iaitu disertakan dengan senarai perkhidmatan yang komprehensif seperti talian On the Spot Hotline, Help on the Phone dan bantuan Kemalangan 24 jam, 365 hari setahun, Perkhidmatan Tunda Percuma dan apabila diperlukan (lebih 200 km dari kediaman), Kenderaan Gantian, Tempat Tinggal, Penyelesaian Servis Mobiliti serta servis Penghantaran Pulang.
-
Toyota mendahului indeks kepuasan perkhidmatan pelanggan di Malaysia tahun ini – laporan J.D Power
In Bahasa Malaysia, Berita Tempatan / By Izwaashura Sadali / / 0 comment
J.D. Power telah mengeluarkan kajian Indeks Kepuasan Perkhidmatan Pelanggan 2017 di Malaysia (Customer Service Index; CSI), yang membentangkan keseluruhan kepuasan perkhidmatan di kalangan para pengguna. Bagi kajian edisi 2017 ini adalah berdasarkan respon dari 2,705 pemilik kenderaan baharu yang membeli kenderaan mereka antara Februari 2015 dan Mei 2016, dan menghantarnya ke pusat servis bertauliah di antara Ogos 2016 dan Mei 2017.
“Dengan permintaan dan gaya hidup yang moden, pemilik kenderaan di Malaysia kini tidak mahu masa mereka terbuang begitu sahaja ketika menghantar kenderaan masing-masing untuk diselenggara. Jadi ia merupakan tanggungjawab para pengedar untuk menyediakan penasihat perkhidmatan profesional sebagai memastikan perkhidmatan mereka menepati kehendak pada pelanggan,” ujar Muhammad Asyraf Bin Mustafar, ketua J.D. Power bagi Malaysia.
Kepuasan pemilik kenderaan baharu dengan pengalaman penyelenggaraan ditentukan dengan meneliti prestasi pengedaran dalam lima faktor (yang paling penting) iaitu kualiti penyelenggaraan (32%), penerimaan penyelenggaraan (22%), pengambilan kenderaan (18%), penasihat penyelenggaraan (15%) dan fasiliti penyelenggaraan (13%).
Bagi kajian tahun ini menyaksikan kepuasan pelanggan telah ditambah baik, dengan kedua-dua jenama Malaysia dan luar yang mencapai mata tertinggi (pada skala 1,000 mata) berbanding tahun lalu. Jenama Malaysia merangkumi 756 mata (+9 mata), manakala jenama luar pula mencapai 766 mata (+11 mata).
Sekali lagi, Toyota menduduki tangga teratas dengan kutipan mata sebanyak 780 mata, meningkat 17 mata berbanding tahun sebelum ini. Manakala tempat kedua pula diduduki oleh Mitsubishi dengan markah 778, bersaing rapat dengan Mazda (776 mata), diikuti pula dengan Nissan (768 mata), Volkswagen (765 mata) dan Isuzu (764 mata).
Manakala pengeluar kenderaan pasaran massa yang menerima markah di bawah 761 termasuklah Ford (759 mata), Perodua (757 mata), Proton (755 mata) dan Honda (753 mata). Menurut J.D Power, Kia dan Hyundai yang turut berada dalam kajian, namun terkeluar daripada senarai memandangkan skala mereka yang agak kecil atau berkurangan.
Klik untuk besarkan Kajian terbabit turut mendedahkan para pelanggan sangat menghargai penasihat perkhidmatan yang memberikan penjelasan yang terperinci sebelum penyelenggaraan dimulakan, dengan kepuasan meningkat sebanyak 49 mata menjadi 768 mata, berbanding ketika penjelasan tidak diberikan (719 mata). Manakala penjelasan selepas penyelenggaraan selesai juga menerima kepuasan tinggi (763 mata berbanding 711 mata).
Tahun ini juga menyaksikan peningkatan proses penyerahan dalam kurang daripada 15 minit kepada 62% berbanding 58% pada 2016. Sebagai tambahan, peratusan bagi bayaran perkhidmatan yang dijelaskan juga telah bertambah menjadi 91% berbanding 88% tahun lalu.
Selain itu, kajian juga mendapati rakyat Malaysia lebih berpuas hati apabila mereka dimaklumkan mengenai status kenderaan masing-masing dan sekiranya pusat servis dilengkapi dengan fasiliti yang diperlukan. Secara keseluruhannya, kepuasan pelanggan juga memberikan kesan terhadap kesetiaan dan sokongan, jadi apabila mereka berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberi, pasti mereka akan menyarankan pengedar perkhidmatan tersebut kepada kenalan dan keluarga.
-
Filem penghadang haba kenderaan perlu patuhi standard MS2669 mulai tahun 2018 – Liow
In Bahasa Malaysia, Berita Tempatan / By Izwaashura Sadali / / 0 comment
Mulai tahun hadapan, piawaian filem penghadang haba akan diselaraskan menerusi satu mekanisme baharu bagi memastikan filem penghadang haba berkenaan mematuhi Standard Malaysia MS2669.
Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, satu mekanisme akan dilaksanakan iaitu Penyelarasan Piawaian Filem Penghadang Haba Kenderaan Bermotor yang dilihat mampu menyelesaikan isu penguatkuasaan terhadap kenderaan awam berikutan penggunaan peralatan ujian yang berbeza oleh syarikat aksesori kenderaan dan pihak berkuasa, laporan Bernama.
Katanya lagi, mekanisme itu juga dapat memastikan filem yang dipasang oleh kedai aksesori kenderaan mematuhi standard ditetapkan sekali gus mengelakkan pengguna tertipu dengan produk tiruan.
“Saya yakin pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan lanjut seperti meminda mana-mana peraturan atau kaedah yang berkenaan bagi memastikan pelaksanakan penggunaan filem yang menepati piawaian MS2669 dapat berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita sewaktu melancarkan mekanisme tersebut semalam.
Mekanisme itu dibangunkan oleh Pertubuhan Penjual Auto Audio, Aksesori dan Hawa Dingin Malaysia (AAA) dengan kerjasama JPJ, Jabatan Standard Malaysia, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Persatuan Automotif Malaysia.
Selaras dengan penggunaan mekanisme itu, Liow berkata pengusaha industri sama ada pembekal atau peruncit akan menggunakan label keselamatan kod QR pada filem penghadang haba yang dipasang pada setiap cermin kenderaan.
Melalui sistem itu, pengguna, pengusaha kedai aksesori dan pihak berkuasa boleh mengimbas kod QR bagi memeriksa sama ada filem yang dipasang memenuhi standard ditetapkan.
“Kadang kala bukan pengguna sahaja tertipu, tetapi kedai aksesori juga ditipu oleh pembekal. Dengan sistem ini, semua peringkat boleh memeriksa filem itu asli atau tiruan,” katanya.
Menurut Presiden AAA Cherrie Lim Bee Choo pula, kod QR tersebut boleh diimbas melalui aplikasi telefon mudah alih “TinTrac” yang boleh dimuat turun melalui Play Store dan App Store.
“Kod QR itu akan digunakan bermula pertengahan November ini secara berperingkat-peringkat di semua kedai aksesori yang menjadi ahli AAA, iaitu lebih 90 peratus daripada keseluruhan kedai aksesori kenderaan di negara ini. Hanya kedai aksesori ahli AAA yang akan mempunyai kod QR itu dan dengan mengimbas kod tersebut, semua maklumat seperti jenama filem dan material yang digunakan boleh diperolehi,” kata Lim.
Di mana mekanisme itu mampu memantau dan mengesan filem penghadang haba bermula dari peringkat pengimportan, pengedaran, pemasangan dan pengendalian kepuasan pengguna sehingga ke peringkat penguatkuasaan.
Mekanisme itu dibentuk susulan pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ berhubung operasi bersepadu secara besar-besaran yang dirancang dilancarkan pada 16 Jun 2014 terhadap pemilik kenderaan yang menggunakan filem penghadang haba tidak menepati piawaian penembusan cahaya.
Pengumuman itu menimbulkan pertikaian kerana peralatan ujian yang digunakan oleh pihak berkuasa berbeza dengan alat yang digunakan pengusaha kedai aksesori kenderaan.