SEORANG pelajar perempuan di sebuah kolej di Carolina Selatan terselamat daripada menjadi mangsa rompakan sekumpulan gengster remaja kerana kereta dipandunya bertransmisi manual. Ya, tiga gengster yang cuba merompak Jordan Dinsmore tidak tahu memandu kereta manual.
Insiden berlaku Rabu lalu selepas Dinsmore baru saja selesai kerja pada jam 12:30 pagi. Ketika tiba di lot parkir dekat kompleks kediamannya, tiba-tiba muncul tiga lelaki mengancam mahu menembak jika dia menjerit.
Dinsmore ditolak masuk semula ke dalam kereta, dan ketika itu barulah ketiga-tiga pencuri menyedari bahawa kereta gadis tersebut ialah jenis manual yang masing-masing tidak tahu cara memandu. Lucunya, seorang daripada anggota pencuri tersebut terus saja melarikan diri meninggalkan dua rakannya itu.
TIDAK RETI BAWA KERETA MANUAL, PAKSA MANGSA PANDU SENDIRI
Bagaimanapun, dua pencuri tersebut tetap nekad apabila mengarahkan Dinsmore memandu sendiri ke mesin wang, ATM dan memaksa dia mengeluarkan wang untuk diserahkan kepada mereka. Pada masa itulah dia mula terfikir bagaimana mahu menyelamatkan diri.
Caranya, Dinsmore tidak terus memasang tali pinggang keledar sebaik saja balik daripada mengeluarkan wang. Ketika disuruh memandu ke rumah salah seorang penjenayah tersebut, dia bertindak berani meletakkan gear dalam posisi neutral (N) dan melompat keluar dari kereta yang ketika itu dipandu dalam kelajuan 56kmj.
Mujurlah tiada kecederaan serius menimpa Dinsmore. Keesokan harinya, polis terus saja memberkas dua suspek jenayah tersebut, iaitu remaja berusia 17 dan 15 tahun yang turut dikaitkan dengan enam lagi kes kecurian.