Semua kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan diposisikan semula bagi merakamkan imej kenderaan dari arah belakang, ujar Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi. Ia akan dilaksanakan untuk semua kamera AES, termasuk yang telah pun dipasang sebelum ini.
“Ini (idea) diusulkan oleh pembekal (bagi kamera berkenaan). Ia adalah pendekatan terbaik kerana boleh merakam imej nombor pendaftaran kenderaan yang lebih baik dari arah belakang,” ujar Aziz.
Katanya lagi, teknik ini adalah latihan standard antarabangsa, dan telah pun bermula sejak Julai lalu tanpa disedari oleh pengguna jalan raya, laporan The Sun.
“Antara negara yang telah mengimplementasikan sistem sebegini termasuklah United Kingdom, Jerman dan Australia,” ujarnya lagi.
Menurut Aziz lagi, pendekatan baharu ini juga disasarkan untuk merakamkan imej penunggang motosikal, yang banyak melanggar peraturan jalan raya malah menyumbang kepada kemalangan. Selain itu, ia juga bagi mengesan kesalahan yang dilakukan oleh pemandu kenderaan komersil, tidak kira melibatkan kenderaan kecil mahupun bersaiz sederhana.
Pada 28 Jun lalu, Aziz berkata sebanyak 100 unit AES lagi akan dipasang di lebuh raya dan jalan persekutuan pada tahun hadapan.