Tanggal 15 Ogos tahun ini genaplah 50 tahun usia Nissan Bluebird 510 generasi ketiga. Sememangnya tahun 1967 ialah tahun yang penting dalam kalendar automotif Jepun kerana hanya berselang beberapa minggu dalam tahun tersebut kereta-kereta seperti Datsun 510, Mazda Cosmo Sport danToyota 2000GT telah dilancarkan. Walaupun kedua model tersebut menjadi buruan serata dunia sehingga harganya melambung tinggi, tapi sebenarnya model yang serba sederhana seperti Datsun 510 inilah yang banyak mengubah lanskap automotif di Jepun.
Persaingan merebut pasaran
Sejarah 510 bermula seawal tahun 1955 dengan pengeluaran Datsun 110, sebuah kereta kecil dengan binaan ladder frame (ala trak pikap), pegas dedaun dan enjin 25 kuasa kuda. Ia juga dilengkapi dengan rim yang kelihatan sama seperti trak penghantar susu pada ketika itu.
Ia diikuti dengan model Datsun 210 pada tahun 1957, yang masih kelihatan sama tetapi kini dibekalkan dengan enjin overhead sebaris empat yang agak moden dan mampu menghasilkan 37 kuasa kuda. Ia juga merupakan model Datsun yang pertama dikeluarkan secara besar-besaran dan berjaya memasuki pasaran Amerika Syarikat.
Penggantinya, Datsun 310 lahir dua tahun kemudian dan merupakan model Nissan yang pertama menggunakan nama Bluebird. Nama tersebut dipilih dari sebuah pementasan drama yang ditulis oleh Maurice Maeterlinck – langkah yang sama juga diambil sewaktu memilih nama Fairlady.
Dengan penggunaan cesi semi monocoque, enjin 48 kuasa kuda dan suspensi bebas di hadapan selain kabin yang direka semula, ia jauh lebih maju berbanding model sebelumnya. Para pengkritik mengatakan yang ini adalah kereta untuk pemandu (driver’s car) yang pertama dikeluarkan. Ia mempunyai sejarah sebagai sebuah teksi dan juga kegunaan komersil tetapi kini menjadi kebanggaan pemilik.
BACA: JAY LENO GARAGE – RETRO MOD DATSUN 510
Dua bulan selepas 310 diperkenalkan, Toyota menaik taraf model mereka, Corona sedan dengan enjin 1.0 liter overhead yang berjaya mengatasi Bluebird dengan dua kuasa kuda. Generasi kedua Corona muncul pada bulan April 1960 dan menyaksikan ia bersaing hebat dengan Bluebird 310 untuk menguasai pasaran. Maka timbullah istilah BC War pada ketika itu yang merujuk kepada peperangan antara Corolla dan Bluebird.
Walaupun Toyota berusaha bersungguh-sungguh, Bluebird berjaya mengatasi mereka untuk lima tahun seterusnya. Antara penyebabnya ialah sistem suspensi Corona yang terlalu lembut walaupun ianya sarat dengan teknologi tidak bersesuaian dengan keadaan permukaan jalan raya Jepun yang agak kasar. Datsun 310 kemudiannya digantikan dengan 410 pada tahun 1963. Inilah model berkuasa sebenar bila dibekalkan dengan enjin 1.6-liter yang diambil daripada model sport Datsun Fairlady. Ia kemudiannya diberi gelaran SSS (Super Sports Sedan).
Dalam usaha bersaing dengan satu sama lain, Toyota dan Nissan telah mencuba untuk menakluk pasaran antarabangsa, pakar rekaan Itali, Pininfarina diberi tugas untuk merekabentuk 410 tetapi hasilnya tidak kena dengan selera orang Jepun. Dengan pengenalan Corona baru yang serba bergaya pada tahun 1965, Toyota buat pertama kalinya berjaya mengatasi Nissan dalam BC War.
Untuk merebut kembali gelaran yang hilang, Nissan telah melancarkan Datsun 510 Bluebird baharu pada 15 Ogos 1967. Ia memang sebuah model yang menakjubkan bukan hanya untuk Jepun tetapi untuk industri keseluruhannya. Ia merupakan sebuah kereta dengan faktor prestasi yang tidak akan muncul pada model-model keluaran syarikat lain selama berdekad akan datang.
Noboru Ota, ketua jurutera ketika itu menghasilkan ramuan kemenangan dengan rekaan yang ringkas, dimensi kompak dan inovasi seperti enjin dari keluarga overhead-cam L-series. Kehebatan sebenar 510 ialah suspensi bebas di keempat bahagian roda. Bahagian hadapan menggunakan topang bebas MacPherson manakala lengan semi-trailing di belakang. Ciri-ciri ini sebenarnya hanya boleh didapati pada model sport high-end dari Barat pada ketika itu. Corona? Mereka masih lagi menggunakan gandar belakang jenis solid. Malah model Skyline pada masa itu pun masih belum menggunakan suspensi semaju 510.
BACA: DATSUN BLUEBIRD 510 ENJIN 50 TAHUN!
Rekaan luarannya juga ditambah baik oleh perekanya, Teruo Uchino. Tiada lagi bahagian belakang yang kelihatan jatuh ke bawah dan digantikan dengan garisan badan yang lebih tegap digelar Supersonic Line. Tiada lagi tingakap kecil berbentuk segitiga untuk kemasukan angin seperti yang menjadi trend ketika itu tetapi digantikan dengan sekeping tingkap kaca besar yang tidak pernah digunakan oleh model-model Jepun pada waktu itu.
Terdapat empat pilihan badan ditawarkan untuk 510. Sedan 4-pintu, wagon 4-pintu, sedan 2-pintu (yang berkongsi rekaan bumbung sama dengan model 4-pintu) dan 2-pintu coupe khusus untuk pasaran Jepun.
Pilihan enjin untuknya ialah 1.4-liter, 1.4-liter dan 1.6-liter yang mampu menghasilkan 96 kuasa kuda. Model 1.6-liter mampu mencapai kelajuan maksima 160 km/j pada zaman itu. Untuk pasaran Jepun sedikit istimewa kerana ia ditawarkan dengan model 1.8-liter SSS yang mampu menghasilkan 113 bhp kuasa maksima.
Kombinasi prestasi, gaya dan rekaan suspensi termaju membolehkan Nissan memenangi BC War untuk tempoh yang panjang. Boleh dikatakan sepanjang hayat Datsun 510. Kehebatannya juga bukan sekadar pada keuntungan yang dijana untuk syarikat tetapi ia merevolusikan imej kereta Jepun. Daripada produk tin Milo dunia ketiga kepada kereta bertaraf dunia baik di jalanan mahupun di litar perlumbaan.
Perlumbaan merupakan platform terbaik untuk mencipta nama dan tanpa membuang masa, Nissan menghantar 510 ke Amerika Syarikat untuk mencabar gergasi-gergasi di sana. Di Jepun tidak perlu kerana mereka sudahpun menaklukinya dengan menggunakan model-model Skyline, Sunny dan Fairlady Z.
Antara kejayaan 510 paling besar ialah dalam perlumbaan rali. Bukan sebarang rali tetapi East African Safari Rally yang cukup mencabar di dunia ketika itu. Mereka berjaya menjadi juara keseluruhan pada tahun 1970 dalam perlumbaan yang mengambil masa empat hari merentasi perjalanan sejauh 5,300 kilometer! Ia sesuatu yang sangat menakjubkan sehingga menjadi inspirasi untuk sebuah filem bertajuk “5,000km to Glory”.
Selain daripada itu banyak lagi perlumbaan yang dimenangi di Amerika Syarikat seperti SCCA Trans-Am Challenge dan perlumbaan tahan lasak terkenal Baja 1000. Sukar untuk diterangkan bagaimana Nissan yang sebelumnya tidak dikenali tiba-tiba muncul dan mengalahkan satu persatu nama besar seperti Ford, Lancia, Peugeot, BMW dan Alfa Romeo. Ia bukan hanya mengubah tanggapan ramai terhadap Nissan tetapi juga persepsi masyarakat terhadap kereta buatan Jepun.
Hasilnya, ramai pelumba yang menjadikan 510 sebagai kereta lumba pilihan mereka termasuklah aktor terkenal Paul Newman yang berlumba untuk pasukan Bob Sharp Racing. 510 juga memulakan budaya modifikasi dengan terbitnya katalog alat ganti berprestasi tinggi oleh Datsun. Inilah kereta yang sebenarnya mencetuskan idea pengubahsuaian kereta sehingga ke hari ini.
Lagi menakjubkan bila dalam satu temuramah, ketua jurutera 510 menyatakan hanya 23 orang sahaja yang terlibat dalam penghasilan kereta ini. Satu jumlah yang cukup kecil untuk kereta yang berjiwa besar. Jika mengambil kira projek sebegini masa sekarang rasanya ratusan pekerja diperlukan untuk menghasilkan sebuah kereta. Bukan itu sahaja, pada yang sama mereka juga bertanggungjawab dalam membangunkan Nissan Laurel. Pendek kata dua kerja dalam satu masa. Hasilnya lahirlah kereta yang mengubah lanskap permotoran Jepun dan dunia sehingga ke hari ini. Terima kasih Datsun/Nissan Bluebird 510.
Kredit kepada Japanese Nostagic Cars