Nissan telah membawa satu model istimewa ke Chicago Auto Show, iaitu sebuah 370Z Roadster yang diubah suai untuk dipandu atas salji. Bahagian tayar kenderaan ini telah diganti dengan pemacu ski dan kuasa dari enjin masih lagi sampai ke bahagian belakang, manakala bahagian hadapan cuma untuk mengawal arah kenderaan.
Menghasilkan kenderaan ini sememangnya adalah satu cabaran, terutamanya di bahagian belakang bagi menempatkan pencengkam salji dari American Track Truck, Inc. Kenderaan ini perlu ditinggikan sebanyak tiga inci, dan kemudiannya menggunakan tapak buatan khas untuk suspensi belakang dan hub. Brek asal masih dikekalkan tetapi laluan minyak brek diubah, bersama sistem ekzos.
Pada bahagian depan, suspensi turut diubah suai untuk memadankannya dengan kedudukan yang lebih tinggi, dan satu pendakap khas dibuat supaya ski di bahagian hadapan ini dapat pusing dan bergerak dengan bebas. Bahagian hadapan turut diletakkan dengan skid plate untuk melindungi bawah enjin.
Untuk bentuk badannya, tidak banyak perubahan yang dibuat, cuma ia dibalut dengan pelekat khas, dan lampu hadapannya dilapik dengan plastik kuning bagi menjadikannya seperti goggle ski. Lengkuk roda juga sebenarnya telah diubah suai untuk menjadi lebih besar.
Nissan 370Zki ini menggunakan enjin asal 370Z iaitu unit V6 3.7 liter DOHC yang mampu menghasilkan 332 hp dan dipadankan bersama transmisi automatik tujuh kelajuan. Bumbung kain juga masih dibiarkan dan ia boleh ditutup dengan kawalan elektronik.