Nissan telah mendedahkan generasi kedua kenderaan elektrik Leaf bakal dilancarkan ke tujuh pasaran di Asia/Ocenia pada tahun ini. EV ini akan diperkenalkan di Singapura, Malaysia, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan serta Australia dan New Zealand.
Berita ini diumumkan semalam dalam simposium Nissan Future yang berlangsung di Singapura selama tiga hari yang melibatkan pelbagai topik perbincangan mengenai bagaimana untuk mewujudkan masa depan yang mapan melalui elektrifikasi kenderaan dan cara membangunkan teknologi pemanduan canggih yang lebih mudah, di bawah tema The Future of Mobility – Electrification and Beyond.
Menurut Timbalan Presiden kanan serantau Nissan Yutaka Sanada, barisan yang diperkenalkan ini adalah senada dengan sasaran mereka untuk membawa masuk kenderaan kosong-emisi generasi kedua itu ke lebih banyak pasaran. Tambahnya lagi, Nissan juga sedang mengkaji pemintaan di Indonesia dan Filipina untuk fasa akan datang pelancaran EV tersebut.
Untuk Malaysia, Leaf dijangka akan memasuki pasaran sini pada hujung suku ke empat tahun ini, seperti mana yang pernah diumumkan tahun lalu.
Pengarah Jualan dan pemasaran Edaran Tan Chong Motor (ETCM) Chris Tan mendedahkannya pada paultan.org, pihaknya merancang untuk mempamerkan EV ini buat pertama kalinya untuk Malaysia di 2018 Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 18) pada November ini, dengan pra-jualannya bermula selepas itu.
Walau bagaimana pun, harganya masih belum ditentukan. Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini. Leaf mungkin akan hadir dengan model pemasangan tempatan (CKD) bagi memenuhi kelayakan mendapat insentif di bawah skim Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Oleh itu ETCM mungkin patut melaksanakan pelaburannya kilang pemasangan untuk memasang EV ini secara CKD, atau bekerjasama dengan kerajaan untuk mengelakkan harga yang lebih tinggi bagi kenderaan elektrik CBU.
Untuk pengetahuan, Leaf baharu ini menampilkan peningkatan yang agak signifikan daripada segi prestasi berbanding model generasi kedua. Ia kini mampu menghasilkan 38% lebih kuasa dan 26% lebih tork, pada 110 kW (148 hp) dan 320 Nm. Ia juga menggunakan bateri lithium-ion 40 kWh berkapasiti tinggi bagi menambahkan lagi kuasa pacuan elektrik sehingga 378 km (mengikut kitaran NEDC). Sebagai perbandingan, Leaf terdahulu menggunakan bateri 30 kWH yang mampu dipacu sehingga jarak 250 km.
Leaf telah pun ke pasaran domestik Jepun, bermula Oktober tahun lalu. Diikuti dengan USA dan Kanada pada Januari 2018. EV ini juga bakal ke Eropah pada bulan ini, dan seterusnya ke lebih 60 pasaran lain di seluruh dunia.