Gambar rasmi pertama Nissan Terra sudah pun kita lihat sebelum ini. Khabarnya model berkenaan akan membuat penampilan pertama di China tak lama lagi. Nissan Terra merupakan sebuah SUV tujuh tempat duduk yang dibangun menggunakan asas daripada trak pikap Navara.
Kiranya boleh bayangkan macam Isuzu MU-X yang gunakan asas D-Max, dan Toyota Fortuner yang gunakan asas Hilux. Dan, jenis dan model kenderaan yang dinyatakan ini tidaklah asing lagi, terutama untuk pasaran Thailand dan ASEAN.
Untuk itu, menurut sebuah laporan Bangkok Post, Terra sah akan turut diperkenalkan dipasaran di sana. Bila? Dijangka akan berada di bilik pameran di negara itu pada separuh kedua tahun ini, sejurus selepas penampilan pertamanya yang dijangka akan dilakukan ketika Beijing Auto Show.
Nissan Terra berkongsi sistem janaan kuasa yang sama dengan Navara NP300, yang menggunakan YD25DDTi 2.5 liter turbodiesel dengan kotak gear automatik tujuh-kelajuan atau manual enam-kelajuan. Ada satu lagi piihan, enjin 2.3 liter diesel (untuk pasaran Barat) sekiranya Nissan ingin tawarkan sekali.
Nampak gaya SUV ini macam akan turut dibawa masuk untuk pasaran Malaysia. Bila agaknya kita akan terima Nissan Terra?