Malam tadi kita dikejutkan dengan berita mengenai kematian tiga wanita dan seorang lagi rakan mereka kritikal akibat keracunan karbon monoksida (CO) selepas mereka tertidur di dalam kereta sewaktu berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth, Pulau Pinang.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah SPT ACP Shafee Abd Samad berkata, tiga yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor Adilah Mohd Safwan, manakala yang sedang dirawat adalah Nor Aqilah, yang merupakan kembar kepada Nor Adilah, laporan Bernama.
Beliau berkata siasatan awal mendapati keempat-empat rakan baik berumur 21 tahun itu telah pergi ke Pulau Jerejak, sempena cuti umum Hari Malaysia, dan difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.
“Mereka yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey berhenti di stesen minyak di kawasan Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara untuk berehat, namun mereka dipercayai tertidur sehingga masing-masing tidak sedarkan diri dan mengalami keracunan karbon monoksida,” katanya.
Menurut World Health Organization (WHO), CO boleh mengancam nyawa manusia walau pun dalam kadar yang rendah. Dalam dunia automotif, CO merupakan salah satu daripada beberapa jenis gas yang boleh membahayakan kesihatan. Di mana ia terhasil menerusi pembakaran bahan api dalam enjin kenderaan dan menghasilkan gas yang boleh bertukar menjadi racun dan sekaligus mampu membunuh secara senyap. Selain itu, gas lain yang berbahaya yang boleh dihasilkan oleh enjin kenderaan termasuklah hidrokarbon dan nitrogen oksida.
Walau bagaimana pun, beberapa bahagian dalam sistem ekzos kenderaan boleh berfungsi untuk mengurangkan bahaya gas-gas berkenaan. Bahagian tersebut ialah manifold, paip ekzos, penderia oksigen, catalytic converter, muffler dan corong ekzos. Tetapi bagaimanakah CO boleh ‘bolos’ dalam kenderaan walau pun terdapat bahagian-bahagian tersebut sedangkan ia berfungsi untuk menukar CO menjadi gas yang lebih selamat iaitu karbon dioksida (CO2)?
Mengikut kajian yang dijalankan oleh Iowa State University, ia terjadi apabila terdapat kebocoran pada sistem ekzos. Enjin petrol pembakaran dalaman boleh menghasilkan kepekatan CO yang sangat tinggi. Walau pun enjin tersebut ditala dengan betul, namun ia akan menghasilkan lebih daripada 30,000 bahagian per juta (PPM) CO sebelum ditukarkan menjadi CO2 tidak bertoksin di dalam catalytic converter.
Apabila ekzos mengalami kebocoran, ia akan melepaskan CO dan gas beracun ini dapat memasuki kabin kenderaan melalui lubang di badan kenderaan atau tingkap atau pintu yang terbuka. Oleh itu, sistem ekzos mesti kedap gas dari enjin hinggalah ke hujung corong ekzos bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini daripada berlaku.
Mungkin ada kenalan anda berkata, “Takpe kalau nak tidur dalam kereta, hidupkan enjin, pasang aircond atau boleh bukak sikit tingkap. Tak bahaya.” Itu fakta yang tidak tepat. Menurut laman Facebook Public Health Malaysia , keracunan CO tidak memerlukan kuantiti yang banyak. Kadar yang rendah sudah cukup untuk membuatkan kita tidak sedarkan diri. Malah, CO dari luar yang mengelilingi kereta juga bahaya. Kereta kita mungkin tidak kedap udara dan bahan ini boleh meresap masuk ke dalam kereta.
Untuk pengetahuan, gas tersebut tidak mempunyai sebarang warna dan bau. Justeru, sukar untuk kita menyedari ‘kehadirannya’. Apabila CO bersebaran di dalam kenderaan, ia boleh memasuki saluran pernafasan dan salur darah. Kemudian ia akan bercampur dengan hemoglobin (bahagian sel darah merah yang membawa oksigen), lalu membentuk membentuk carboxyhaemoglobin. Apabila ini berlaku, darah tidak lagi mampu membawa oksigen, dan kekurangan oksigen menyebabkan sel dan tisu badan gagal dan mati.
Antara gejala keracunan CO ialah sakit kepala, pening, lemah anggota badan, sakit perut, muntah, sakit dada dan sesak nafas serta mengalami kecelaruan. TETAPI, jika gas ini dihidu sewaktu anda sedang tidur, adalah sukar untuk anda menyedari sebarang gejala ini dan sekaligus boleh membuatkan anda tidur selama-lamanya! Menakutkan bukan?
Oleh itu, beberapa tips telah dikeluarkan oleh pakar kesihatan dunia untuk mengelakkan perkara ini dari terjadi. Tolong ambil peduli dan lebih peka atas segala tindakan anda.
- Jangan memanaskan enjin di kawasan yang tertutup kerana asap ekzos akan memenuhi ruang terbabit dan boleh mengandungi CO sekaligus boleh menyebabkan keracunan gas.
- Jangan tidur di dalam kenderaan yang tidak bergerak tetapi enjin masih dihidupkan, walau pun tingkap atau pendingin hawa dibuka atau ditutup. Kalau nak tidur dalam kereta, sila matikan enjin.
- Sila pastikan sistem ekzos kenderaan anda diperiksa dan diselenggara dengan baik. Jika anda mendapati ekzos berbunyi kuat dan kasar serta ada mengeluarkan bau asap yang teruk, itu merupakan antara tanda ekzos anda bocor. Segera bawa kenderaan anda ke pusat servis untuk pemeriksaan lanjut.
- Jika indikator ‘check engine’ menyala, kemungkinan penderia oksigen ada mengesan masalah dalam sistem pembakaran enjin dan gas ekzos. Jadi, jangan buat-buat tak nampak atau pandang enteng sekiranya indikator tersebut menyala. Tindakan segera perlu diambil dengan membawa kenderaan anda ke pusat servis.
- Jangan melakukan modifikasi yang boleh mendatangkan bahaya. Mungkin nak bikin kereta lebih ‘power’ ada pulak yang sanggup membuang komponen penting seperti catalytic converter dan muffler.
Sumber: paultan.org