SUV baharu Nissan yang lebih kecil dari Kicks iaitu Nissan Magnite telah pun dilancarkan di India dua hari lalu – selain dari rupanya yang benar-benar menarik, Magnite juga dijual pada harga yang benar-benar murah bermula 4.99 juta rupee untuk versi asas 1.0 liter NA manual XE, sehingga versi tertinggi 1.0 liter Turbo XV Premium berharga 9.35 juta rupee (RM52k).
Menurut pengarah urusan Nissan India, Rakesh Srivastava, langkah “besar, berani dan cantik” yang diambil syarikatnya tersebut bukan sahaja mensasarkan segmen SUV kompak, malah mereka juga mahu pelanggan yang sebelum ini memiliki hatchback dan sedan kompak untuk bertukar kepada Magnite.
“SUV dalam pasaran India kini sangat baik berbanding sedan dan hatchback. Dalam industri automotif, SUV merupakan model yang paling beraspirasi. Kedudukan aspirasi tersebut bermula dengan hatchback, sedan dan kemudian ia naik kepada SUV. Saya rasa pelanggan hatchback dan sedan turut beraspirasi untuk memandu SUV,” kata Srivastava kepada Autocar India.
Menurutnya lagi dalam laporan portal berkenaan lagi, untuk masuk kepada aspirasi tersebut, beza harga antara SUV dengan sedan dan hatchback perlu didekatkan, dan sebab itu Nissan sedang menuju kearah itu untuk “cuba memenuhi impian pelanggan hatchback, sedan dan SUV” dengan melancarkan Nissan Magnite ini.
Nissan Magnite ditawarkan dalam 10 varian berbeza di India dengan pilihan enjin 1.0 liter tanpa turbo dan juga enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo. Untuk model 1.0 liter NA, ia hanya digandingkan dengan kotak gear manual hadir dalam lima kemasan, dan ia ditawarkan dari versi paling asas XE dengan harga 4.99 juta rupee (RM28k) sehingga varian paling tinggi XV Premium dengan harga 7.55 juta rupee (RM42k).
Model dengan enjin 1.0 liter turbo dengan kotak gear manual pula ditawarkan dalam tiga kemasan, bermula versi XL dengan harga 6.99 juta rupee (RM39k) hingga versi tertinggi XV Premium berharga 8.45 juta rupee (RM47k). Manakala model dengan enjin 1.0 liter turbo bersama kotak gear automatik CVT juga ditawarkan dalam tiga kemasan, bermula dengan versi XL berharga 7.89 juta rupee (RM44k) sehingga versi tertinggi XV Premium berharga 9.35 juta rupee (RM52k).
Laporan Autocar India ini menyebut bahawa dengan harga asas 4.99 juta rupee berkenaan, model asas Magnite XE kini berada dalam julat yang sama dengan harga hatchback kompak seperti Maruti Suzuki Wagon R VXI yang berharga 4.98 juta rupee (RM27k) dan juga Tata Tiago XE yang berharga 4.7 juta rupee (RM26k).
Harga yang ditawarkan untuk Magnite tersebut turut lebih murah dari model asas Maruti Suzuki Swift LXI yang dijual pada harga 5.19 jute rupee (RM28k) dan juga hatchback premium paling mampu milik Tata Altroz XE yang berharga 5.44 juta rupee (RM30k). Kesemua model hatchback ini adalah dalam segmen sub-4 meter yang sama seperti Magnite.
Bukan sahaja hatchback, malah harga Magnite untuk varian paling asas ini juga adalah lebih murah dari sedan Tata Tigor XE yang dijual pada harga 5.39 juta rupee (RM29.6k). Manakala model varian tertinggi dengan enjin NA pula masih lebih murah dari Maruti Suzuki Swift dalam varian tertinggi ZXI+ yang dijual pada harga 7.58 juta rupee (RM42k).
Manakala untuk model 1.0 liter Turbo pula, Magnite dilihat berada dalam julat harga yang sama seperti Hyundai Grand i10 Nios Turbo dalam spesifikasi pertengahan Sportz dengan harga 7.76 juta rupee (RM43k) dan juga Volkswagen Polo TSI dengan harga antara 8.09 juta hingga 9.67 juta rupee (RM44.5k-RM53k), tulis Autocar India lagi.
Walau bagaimanapun, kesemua harga yang ditawarkan ini adalah harga pengenalan yang hanya sah untuk pelanggan yang menempah Magnite sebelum 31 Disember ini. Srivastava menjelaskan bahawa walaupun harga ini ditawarkan dalam tempoh masa yang singkat, Nissan tidak mengehadkan tempahan yang diambil untuk harga istimewa tersebut.
Untuk model NA, Magnite dijana oleh enjin 1.0 liter yang menghasilkan kuasa 72 hp. Manakala untuk model turbo, ia diberikan enjin dengan kod HRA0 – macam pernah dengar? Ya, ia enjin yang sama dalam perut Nissan Almera turbo pasaran Thailand dan Malaysia.
Bagi model turbo dengan kotak gear manual, enjin berkenaan menghasilkan 100 hp/160 Nm. Manakala bagi model yang dilengkapi transmisi CVT automatik pula, kuasa yang dihasilkan masih sama tetapi tork direndahkan sedikit pada talaan 152 Nm.
Menurut Nissan, rekaan Magnite ini dibuat di Jepun, namun ia dihasilkan dengan “mengambil kira keperluan unik dan aspirasi pelanggan sekitar India.” Walau bagaimanapun, Magnite turut dirancang untuk dilancarkan di pasaran lain kemudian.
Untuk varian tertinggi, Magnite dilengkapi dengan ciri seperti lampu n skrin sesentuh lapan inci untuk sistem infotainmen yang boleh disambung dengan Android Auto serta Apple CarPlay, paparan pelbagai informasi dengan skrin TFT 7-inci, butang penghidup enjin, kamera 360 darjah, pemantau tekanan tayar, cruise control dan tempat duduk dibalut fabrik hitam.
Nissan juga menawarkan pakej Tech Pack yang menambah pengecas tanpa wayar, pembersih udara, sistem bunyi JBL, lampu suasana serta lampu di bawah cermin sisi yang menyala apabila pintu dibuka. Untuk keselamatan, Magnite pasaran India dilengkapi dengan dua beg udara, ABS, EBD, Vehicle Dynamic Control, Traction Control dan Hill Start Assist.
www.nissankt.com.my
FB: Nissan Kuala Terengganu fb.com/nissanterengganu
IG: NissanKT www.instagram.com/nissankt
Telegram: NissanKT https://t.me/nissankt
Twitter: @nissanktrgShare on facebookFacebookShare on twitterTwitterShare on linkedinLinkedInShare on googleGoogle+Share on emailEmailShare on whatsappWhatsApp