Hampir setahun selepas Nissan Rogue diperkenalkan di Amerika Syarikat, SUV famili saiz sederhana itu akhirnya memakai lencana X-Trail. Model generasi ke-empat ini telah pun diperkenalkan dalam pertunjukan automotif Auto Shanghai yang sedang berlangsung.
Walau bagaimana pun, ada perbezaan di bawah bonetnya, di mana X-Trail untuk pasaran China diberikan enjin baharu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder bagi menggantikan unit 2.5 naturally-aspirated. Ini merupakan penjana kuasa yang pertama di China yang juga menggunakan teknologi variable compression (VC-Turbo) untuk memberikan prestasi yang tinggi dan penggunaan bahan api yang rendah – yang pertama kali digunakan untuk enjin 2.0 liter bagi model Nissan dan Infiniti di USA.
Enjin tersebut mampu menghasilkan 204 PS dan tork 300 Nm (dengan lencana VC-Turbo 300) dan dipadankan dengan Xtronic CVT yang dipertingkatkan bersama nisbah yang lebih lebar dan kapasiti tork lebih tinggi, serta sistem pacuan semua-roda 4×4-i generasi-kedua. Penggunaan bahan api dianggarkan sekitar 5.8 liter bagi setiap 100 km.
Selain itu, X-Trail membawakan penggayaan Rogue, termasuklah gril V-motion yang besar, lampu utama LED terpisah, lampu belakang yang nipis, dan rekaan “bumbung terapung”. Di dalamnya, ia menampilkan rekaan papan pemuka melintang, konsol tengah yang lebar dan rendah dan tuil gear elektronik, serta paparan instrumen digital 12.3-inci dan paparan utama 10.8-inci.
Malahan, pembeli di China juga menerima skrin sesentuh infotainmen 12.3-inci yang besar berbanding paparan NissanConnect sembilan-inci di USA. Nissan juga telah mempertingkatkan fungsi pemanduan semi-autonomous ProPilot, kawalan suhu automatik tiga-zon dan penyingkiran bunyi bising aktif.
X-Trail ini akan dijual di China pada separuh kedua tahun ini. Nissan juga telah mengumumkan model ini akan dijual di Eropah, tetapi ia akan tiba di benua berkenana pada musim panas 2022.
Walau pun terpaksa menunggu agak lama, pembeli di Eropah bakal menerima penjana kuasa elektrik e-Power. Namun buat masa ini, perinciannya masih belum didedahkan, tetapi mungkin sama dengan sistem yang terdapat pada Qashqai baharu, yang menampilkan motor elektrik berkapasiti 140 kW (190 PS) dan enjin 1.5 liter dengan hamburan 156 PS untuk mengecas bateri. Sistem pacuan-semua roda juga bakal ditampilkan.
www.nissankt.com.my FB: Nissan Kuala Terengganu fb.com/nissanterengganu IG: NissanKT www.instagram.com/nissankt Telegram: NissanKT https://t.me/nissankt