
Touch ‘n Go (TnG) memaklumkan bahawa pelaksanaan sistem RFID di lebuhraya utama seluruh negara ketika ini tertangguh akibat pandemik Covid-19. Bagaimanapun, syarikat itu terus menjalankan kerja-kerja bersama rakan konsesi untuk memastikan operasi sistem berkenaan di seluruh rangkaian lebuhraya utama akan dapat dicapai dan berjalan lancar kelak, lapor The Malaysian Reserve.
Menurut CEO Kumpulan TnG, Effendy Shahul Hamid, keseluruhannya ada 273 lorong di lebuhraya telah menjadi ujian RFID, dan kedua-dua syarikat serta rakan konsesi akan bekerjasama memastikan prestasi operasi optimum bagi setiap lorong RFID sebelum melancarkannya secara rasmi di seluruh negara.
Ketika ini, sistem RFID tersedia di semua lebuhraya kecuali di beberapa jalur, iaitu di PLUS di Juru, P. Pinang ke Skudai, Johor; Lebuhraya Pantai Timur di Karak, Pahang, hingga Terengganu; dan Lebuhraya Pantai Barat di Kampung Lekir ke Beruas di Perak.

Effendy memaklumkan, kawalan pergerakan ketika PKP sebagai sebab utama yang menyumbang kepada penangguhan tersebut. “Walaupun pandemik ini telah menyebabkan penangguhan kepada perancangan awal berkaitan RFID, kami juga faham bahawa kesihatan dan keselamatan bersama adalah lebih penting untuk diberi perhatian ketika ini,” jelasnya.
Walaupun dengan kelewatan itu, ramai pengguna telah beralih kepada kaedah pembayaran tanpa sentuhan itu. Effendy berkata yang jualan tag TmG RFID telah banyak meningkat. “Bayaran tanpa sentuhan ini menjadi trend baru pengguna. Transaksi tanpa tunai menjadi pilihan bagi kebanyakan pengguna di Lebuhraya. Kesannya, jualan tag RFID meningkat, terutama dengan pengenalan kit pasang sendiri pada Mei 2020,” ujarnya.

Syarikat itu mendedahkan lebih daripada 500,000 telah terjual sejak sistem berkenaan beroperasi dalam program percubaan sejak September 2018. Ketika ini, kit pasang sendiri itu boleh dibeli melalui TnG eDompet dan kedai rasmi dalam talian syarikat itu serta platform e-dagang lain seperti Lazada dan Shopee.
Menurut syarikat itu, ekosistem TnG kini memiliki 25 juta kad TnG yang aktif, dengan lebih 16 juta pengguna eDompet dan 1.5 juta pengguna tag RFID.
Selain bayaran tol secara elektronik, sistem ini juga akan dimanfaatkan untuk tujuan isian minyak tanpa tunai. TnG dan Shell Malaysia kini sedang menjalankan progrom ujian TnG RFID Isian Semula di lima stesen Shell terpilih di Lembah Klang.
Sumber: paultan.org
www.nissankt.com.my
FB: Nissan Kuala Terengganu fb.com/nissanterengganu
IG: NissanKT www.instagram.com/nissankt
Telegram: NissanKT https://t.me/nissankt