Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menawarkan diskaun sebanyak 50% bagi saman trafik pada 1 hingga 3 Julai ini. Walau bagaimana pun, pembayaran saman dengan kadar diskaun tersebut hanya ditawarkan di satu lokasi sahaja.
Lokasi terbabit ialah Litar Dato Sagor, di Pasir Salak, Perak, di mana satu acara besar iaitu Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia bakal berlangsung di situ pada tarikh berkenaan. Jadi, bagi orang ramai yang berada di daerah berkenaan atau berdekatan, atau pun di mana-mana jua anda berada dan berkesempatan berkunjung ke acara terbabit, jangan lupa untuk menyemak status saman trafik anda. Jika ada saman, boleh terus bayar.
Acara yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 6 petang itu, memberikan penawaran diskaun saman trafik eksklusif buat pengunjungnya yang memiliki saman dari mana-mana lokasi di seluruh Malaysia. Kalau anda pernah kena saman di Sabah pun, boleh langsaikan bayaran saman tersebut dalam acara berkenaan.
Selain itu, penduduk setempat juga berpeluang membayar saman yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) dengan tawaran diskaun sehingga 80% pada hari terakhir acara berkenaan, dan 50% untuk Jumaat dan Sabtu ini.
Kuala Lumpur: Masalah kekurangan bekalan cip mikro yang melanda industri automotif global sejak tahun lalu masih berterusan sehingga kini menyebabkan pembeli kenderaan baharu terpaksa berhadapan tempoh menunggu lama sebelum menerima kenderaan yang ditempah mereka.
Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad berkata, pihaknya tidak mengetahui bila masalah berkenaan dapat diselesaikan dengan tempoh menunggu ketika ini dianggarkan sekitar tiga hingga lapan bulan bergantung kepada model dan jenama pengeluar.
“Sudah lebih setahun masalah cip mikro berlaku dan kami tidak tahu bila kekurangan bekalan cip mikro ini akan selesai.
“Ia menjejaskan kereta pemasangan tempatan (CKD) dan model import sepenuhnya (CBU) apabila komponen tertentu tiada hingga kenderaan itu tidak dapat dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi mengulas rungutan pembeli yang dikatakan terpaksa menunggu lama sebelum mendapat kenderaan ditempah.
Menurutnya, faktor lain yang turut menyumbang kepada kelewatan pembeli menerima kenderaan apabila berlaku peningkatan tempahan pembelian kenderaan baharu susulan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi kenderaan yang akan berakhir esok.
Menurutnya, keputusan kerajaan melanjutkan tempoh pendaftaran bagi menikmati insentif pengecualian cukai sehingga 31 Mac 2023 pula dapat memberi peluang kepada pembeli memiliki kenderaan pada harga jualan lebih rendah tanpa SST.
“Selepas habis tempoh insentif pengecualian cukai, kemungkinan tempahan akan menurun. Bagi tahun ini, MAA meramalkan unjuran jumlah jualan kenderaan (TIV) adalah sebanyak 600,000 buah.
“Namun, jumlah tempahan yang sudah dibuat, kami tiada angkanya. Apa pun, permintaan untuk membeli kenderaan baharu boleh menjadi petanda ekonomi Malaysia semakin baik,” katanya.
Menurutnya, pihaknya juga mendapati tiada pembatalan tempahan kereta buat masa sekarang kerana Kementerian Kewangan membenarkan tempahan yang dibuat setakat esok akan mendapat pengecualian cukai SST dan tempoh pendaftaran kenderaan bagi menikmati insentif pengecualian cukai itu dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023.
Namun katanya, tempahan kenderaan baru dijangka menurun mulai bulan depan susulan keputusan kerajaan.
‘Enam bulan baru dapat kereta’
Ramai pembeli kenderaan meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa menunggu lama mencecah enam bulan untuk mendapatkan model kereta Proton idaman masing-masing.
Malah, isu tempoh menunggu lama bagi mendapatkan kereta yang ditempah bukan hanya membabitkan pengeluar tempatan, tetapi juga jenama kenderaan antarabangsa.
Timbalan Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, secara purata Proton menerima kira-kira 26,000 tempahan setiap bulan dengan model Proton Saga dan Proton X50 mendapati permintaan tertinggi.
Menurutnya, jumlah tempahan yang diterima belum tentu akan menjadi jumlah jualan sesebuah kenderaan.
“Ini kerana ada pelbagai terma dan syarat yang perlu dipenuhi, terutama sekali kelulusan pinjaman bank dan ada juga pelanggan yang akan menukar fikiran.
“Secara am, kadar penukaran tempahan kepada jualan akan berbeza mengikut model, varian dan juga dipengaruhi oleh kadar bunga bank.
“Seperti jenama kereta yang lain, Proton ada tempahan yang belum lagi dipenuhi akibat kekurangan bahagian seperti cip mikro yang menjejaskan jumlah pengeluaran kami.
“Tetapi, dengan pengumuman bahawa tempoh pendaftaran dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023, maka kami yakin akan dapat memenuhi permintaan pelanggan bagi semua model,” katanya.
Menurutnya, oleh kerana ada banyak lagi tempahan yang belum dipenuhi, pegangan stok bagi Proton agak rendah buat masa kini.
Beliau berkata, secara am, tempoh menunggu bagi model Proton adalah kira-kira dua bulan bagi model Proton X70, Proton Persona, Proton Iriz, Proton Exora dan Proton Saga, tetapi tertakluk kepada pilihan warna serta varian.
“Proton X50 pula akan mengambil masa kira-kira enam bulan dan juga tertakluk kepada pilihan warna dan varian.
“Kami yakin akan berjaya memenuhi semua tempahan bagi kenderaan Proton yang ditempah sebelum 1 Jun lalu dan mendaftarkan kenderaan terbabit sebelum akhir Mac 2023,” katanya.
Katanya, kekangan utama Proton untuk meningkatkan kadar pengeluaran adalah kerana kekurangan bekalan cip mikro.
“Masalah (kekurangan cip mikro) ini sekarang berada di tahap global dan selain daripada industri automotif, banyak lagi industri lain seperti industri elektronik juga mengalami masalah sama,” katanya.
‘Batal tempahan sebab lama tunggu’
“Selepas enam bulan menunggu, penasihat jualan memberitahu bahawa stok kereta masih belum ada. Akhirnya saya ambil keputusan untuk membatalkan tempahan.”
Begitu kata eksekutif kewangan Ahmad Aqil Hamden, 25, apabila terpaksa melupakan hasrat untuk membeli kereta Perodua Bezza kerana mendakwa kecewa disebabkan perlu menunggu bagi tempoh lama untuk mendapatkan kenderaan pilihannya.
Menurutnya, dia membuat tempahan kereta itu pada April tahun lalu di sebuah pusat pameran Perodua dan sudah memberikan dokumen lengkap yang diperlukan untuk pinjaman kenderaan.
Katanya, pihak bank sudah meluluskan pinjaman bagi pembelian kereta berkenaan sekali gus membuatkan hatinya rasa tidak sabar menunggu untuk mendapat kenderaan baru.
“Namun sehingga Oktober 2021, stok kereta itu masih tiada. Ia mengecewakan. Lebih-lebih lagi perjanjian pinjaman kenderaan hanya sah tiga bulan dan perlu diperbaharui.
“Maka saya perlu hantar semula dokumen lengkap diperlukan untuk proses pinjaman baharu menyebabkan saya mengambil keputusan membatalkan sahaja tempahan kerana kebetulan keperluan kurang mendesak berbanding ketika saya mula-mula membuat tempahan dahulu,” katanya.
Ahmad Aqil yang bekerja di Bangsar berkata, dia bercadang membeli kereta baharu kerana Perodua Myvi miliknya mahu diberikan kepada adiknya, Imran Yusuf, 22, untuk berulang-alik ke tempat kerja lamanya di Kampung Baru, di sini, dari rumah mereka di Selayang.
Menurutnya, apabila adiknya sudah mendapat kerja lain di sebuah pusat membeli-belah berdekatan Bangsar, dia dan adiknya menaiki kenderaan bersama kerana menuju ke lokasi kerja berhampiran.
“Masa itu di rumah kami ada tiga kereta iaitu milik saya, bapa (Hamden Rashidi, 60) dan ibu (Rozlinda Rahim, 56). Jika adik pinjam kereta ibu dan sekiranya berlaku kecemasan akan menyukarkan ibu walaupun ibu cuma suri rumah sepenuh masa.
“Pada Mac lalu, ayah saya pula bersara, jadi boleh menemani ibu di rumah sekali gus keperluan untuk membeli satu lagi kereta tidak lagi mendesak. Penasihat jualan ada menghubungi saya memberitahu Perodua Bezza sudah ada stok pada Februari lalu, tetapi saya tak ambil sebab rasa belum ada keperluan,” katanya.
Peniaga dalam talian, Ezilea Omar, 42, pula berkata, dia terpaksa membuat pilihan untuk membeli kenderaan yang mempunyai tempoh menunggu tidak lama.
Menurutnya, mengikut perancangan asal, dia lebih berminat mendapatkan Proton X50, tetapi diberitahu penasihat jualan bahawa tiada stok tersedia dan perlu menunggu antara sembilan hingga 12 bulan.
“Selepas meninjau di beberapa pengedar untuk mendapatkan kenderaan yang paling cepat boleh dimiliki, saya membuat keputusan untuk membeli kereta Honda City hatchback.
“Minggu lalu baru masuk tempahan pendaftaran dan insya-Allah dapat dimiliki kereta itu dalam tempoh antara tiga hingga empat bulan nanti,” katanya sambil memberitahu insentif pengecualian cukai antara faktor untuknya menyegerakan pembelian kereta baru.
Dalam pada itu, Mohd Shafiq Mohd Luthfi Ismail, 36, yang bekerja sendiri berkata, dia berasa lega apabila sudah memperolehi kenderaan utiliti sukan (SUV) idamannya Toyota Corolla Cross.
Katanya, dia membuat pendaftaran tempahan pada hujung Januari lalu dan menerima kenderaan kompak itu pada pertengahan Mei lalu.
“Saya beli versi petrol bukan versi hibrid. Penasihat jualan memberitahu jika nak ambil versi hibrid kena tunggu lebih lama sebab permintaannya tinggi selain kereta berspesifikasi tinggi buat masa ini ada masalah kekurangan bekalan cip mikro.
“Sebelum ini saya pakai Proton Persona. Saya berhasrat tukar sebab selain sudah lama pakai kereta itu, saya mahu menambahbaik dari segi keselesaan dan juga ciri keselamatan,” katanya.
Hak pengguna untuk batal jika penantian tidak berbaloi
Kuala Lumpur: Pembeli yang masih menunggu bagi mendapatkan kereta idaman mereka boleh membatalkan tempahan jika berasa tidak berbaloi untuk menunggu dalam tempoh yang lama.
Penganalisis automotif Hezeri Samsuri berkata, orang ramai mempunyai hak untuk membatalkan tempahan, namun kebiasaannya terdapat sedikit bayaran pengurusan yang perlu dijelaskan.
“Lazimnya caj pengurusan dikenakan rendah dan ada juga syarikat kereta yang tidak mengenakan sebarang caj. Sangat penting apabila membuat tempahan, pembeli harus mendapatkan resit rasmi syarikat.
“Namun begitu, pembeli juga boleh menunggu kalau mereka mahu, tetapi jika berniat trade-in (tukar beli) kereta, nilainya akan menurun. Itu puncanya kebanyakan pembeli berubah fikiran dan membeli kereta recond atau kenderaan terpakai sebab pinjaman sudah lulus, namun stok kereta baru gagal diterima.
“Hakikatnya, isu kereta lambat diterima ini bukan masalah yang disengajakan oleh syarikat pengeluar kerana cip mikro adalah punca utamanya. Industri automotif bukanlah pelanggan utama, malah cip mikro juga untuk sektor elektronik dan syarikat pengeluar kenderaan juga perlu ‘berlawan’ dengan industri telefon pintar, gaming, gajet dan pelbagai lagi,” katanya.
Beliau berkata, apabila komponen tidak mencukupi, kereta tidak boleh dipasang menyebabkan syarikat besar seperti Toyota mula membeli bahan mentah untuk membuat cip mikro dengan harapan boleh ‘memaksa’ kilang elektronik membuatkan cip khusus untuk stok mereka.
Menurutnya, syarikat pengeluar kenderaan memang sedang mencari penyelesaian terbaik dan mereka sudah mula menempah cip mikro dalam jumlah lebih besar atau membuat tempahan awal.
Isu ini juga katanya, sudah semakin reda sebenarnya tetapi pembeli masih harus menunggu antara dua bulan hingga tiga bulan terutama kereta pemasangan tempatan (CKD).
“Ada satu lagi isu sebenarnya iaitu masalah kekurangan pekerja untuk kilang-kilang vendor komponen tempatan.
“Ini pun menyebabkan pengeluaran menjadi perlahan dan pekerja asing masih tak boleh masuk (bekerja di negara ini) dan ini menyebabkan kekurangan pekerja.
“Walaupun syarikat Proton, Perodua, Honda, Toyota dan syarikat kereta lain menggunakan pekerja tempatan, vendor masih menggunakan pekerja asing,” katanya.
Menteri Kewangan Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz telah mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mengesahkan bahawa kerajaan tidak akan melanjutkan insentif pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk pembelian kereta baharu selepas ianya berakhir pada 30 Jun ini.
Walau bagaimanapun, untuk mereka yang telah membuat tempahan kereta sebelum 30 Jun masih lagi layak untuk menerima insentif pengecualian cukai tersebut sekiranya kereta berkenaan diterima dan didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum 31 Mac 2023.
“Lanjutan tempoh pendaftaran kenderaan ini merupakan satu penyelesaian titik tengah bagi mengimbangi kepentingan pengguna dan hasil cukai negara yang perlu ditingkatkan semula pasca-pandemik bagi memastikan kebajikan rakyat dan kesejahteraan ekonomi negara terus terpelihara,” ujar Zafrul dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Sebelum ini Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dan Perodua sudahpun membuat permohonan kepada kerajaan agar insentif pengecualian SST berkenaan disambung lagi selepas 30 Jun nanti. Ini kerana dengan pelbagai masalah yang berlaku selepas pandemik termasuk perang Ukraine dan juga kekurangan cip, telah menjejaskan operasi produksi di kilang menyebabkan banyak pelanggan lambat menerima kenderaan mereka, sekaligus tidak sempat menerima pengecualian cukai berkenaan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini turut menyebut bahawa sejumlah 264,000 unit kenderaan yang ditempah di dalam tempoh pengecualian tersebut masih belum siap proses pemasangan di kilang dan tidak dapat diserahkan kepada pembeli.
Tempoh pengecualian SST berkenaan telah pun disambung semula sebanyak tiga kali sebelum ini sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 5 Jun 2020. Ia sepatutnya tamat pada 31 Disember 2020, namun ia dilanjutkan sehingga ke Jun 2021. Ia kemudiannya dilanjutkan lagi hingga ke Disember 2021, dan pada pembentangan Bajet 2022 ia kemudiannya sekali lagi diumum dilanjutkan sehingga ke 30 Jun 2022.
Sekarang semua benda boleh buat online, termasuk lah dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Boleh sambung cukai jalan, lesen dan sebagainya. Dengan sistem terbaru dari JPJ, sekarang sudah boleh Bid/Tender no plate pilihan secara online, tidak seperti dahulu kena pergi ke JPJ isi borang tender dan tunggu sehingga 2,3minggu.
Ini cara-cara untuk bid no pendaftaran JPJ step by step:
Sedikit tips dan tricks, masukkan minimum amaun untuk harga bid utk dapatkan harga paling rendah dan jangan sesekali masuk lump sum. Dan kalau boleh gunakan kad kredit dan bukan debit sebab kadang-kadang ada issue lambat nak proses untuk buat bayaran online.
Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan bakal melaksanakan transaksi tanpa tunai sepenuhnya di semua pusat pemeriksaannnya termasuk perkhidmatan mobile bergerak bermula suku pertama (Q1) tahun 2022. Setakat suku ketiga 2021, sebanyak 91% transaksi tanpa tunai telah dilaksanakan di semua pusat pemeriksaannya sejak April lalu.
Menurut Puspakom, mod urusniaga tanpa tunai dan e-dompet membawa banyak kelebihan lain, seperti keselamatan kepada pengguna dan Puspakom sendiri, selain mengurangkan transmisi kuman atau virus yang mungkin berlaku dalam transaksi tunai. Bukan itu sahaja, pelaksanaan transaksi tanpa tunai ini dapat menjimatkan masa dan memastikan transaksi prmbayaran yang lebih selamat.
Justeru, mod ini akan diperluaskan ke perkhidmatan mobile bergerak termasuk trak dan van Puspakom pada masa yang terdekat. Puspakom menjangkakan 100% penggunaan transaksi tanpa tunai di kalangan pelanggan akan dicapai pada suku pertama tahun 2022.
“Kadar penggunaan transaksi tanpa tunai yang semakin meningkat di Puspakom menunjukkan penerimaan e-pembayaran di kalangan pelanggan sangat menggalakkan. Selain kad debit dan kad kredit, Puspakom juga memberikan pilihan pelbagai e-dompet termasuk Puspakom e-wallet, Maybank QRPay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaan Puspakom. Tiada alasan lagi sebenarnya untuk tidak menggunakan mod transaksi moden ini,” kata Shukor Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom.
Katanya lagi, initiatif ini juga sejajar dengan langkah Kerajaan yang giat mempromosi penggunaan e-pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga bagi merancakkan lagi transaksi digital yang mudah dan selamat, dan meningkatkan kebeskesanan sistem e-pembayaran di Malaysia.
“Selari dengan ini, usaha mendigitalisasikan segala urusan di Puspakom dari temujanji dalam talian untuk pemeriksaan kenderaan, pembayaran yuran pemeriksaan dan pembaharuan insuran tanpa tunai, pemeriksaan kenderaan secara berkomputer juga terus meningkat,” jelasnya lagi.
Touch ‘n Go (TnG) memaklumkan bahawa pelaksanaan sistem RFID di lebuhraya utama seluruh negara ketika ini tertangguh akibat pandemik Covid-19. Bagaimanapun, syarikat itu terus menjalankan kerja-kerja bersama rakan konsesi untuk memastikan operasi sistem berkenaan di seluruh rangkaian lebuhraya utama akan dapat dicapai dan berjalan lancar kelak, lapor The Malaysian Reserve.
Menurut CEO Kumpulan TnG, Effendy Shahul Hamid, keseluruhannya ada 273 lorong di lebuhraya telah menjadi ujian RFID, dan kedua-dua syarikat serta rakan konsesi akan bekerjasama memastikan prestasi operasi optimum bagi setiap lorong RFID sebelum melancarkannya secara rasmi di seluruh negara.
Ketika ini, sistem RFID tersedia di semua lebuhraya kecuali di beberapa jalur, iaitu di PLUS di Juru, P. Pinang ke Skudai, Johor; Lebuhraya Pantai Timur di Karak, Pahang, hingga Terengganu; dan Lebuhraya Pantai Barat di Kampung Lekir ke Beruas di Perak.
Effendy memaklumkan, kawalan pergerakan ketika PKP sebagai sebab utama yang menyumbang kepada penangguhan tersebut. “Walaupun pandemik ini telah menyebabkan penangguhan kepada perancangan awal berkaitan RFID, kami juga faham bahawa kesihatan dan keselamatan bersama adalah lebih penting untuk diberi perhatian ketika ini,” jelasnya.
Walaupun dengan kelewatan itu, ramai pengguna telah beralih kepada kaedah pembayaran tanpa sentuhan itu. Effendy berkata yang jualan tag TmG RFID telah banyak meningkat. “Bayaran tanpa sentuhan ini menjadi trend baru pengguna. Transaksi tanpa tunai menjadi pilihan bagi kebanyakan pengguna di Lebuhraya. Kesannya, jualan tag RFID meningkat, terutama dengan pengenalan kit pasang sendiri pada Mei 2020,” ujarnya.
Syarikat itu mendedahkan lebih daripada 500,000 telah terjual sejak sistem berkenaan beroperasi dalam program percubaan sejak September 2018. Ketika ini, kit pasang sendiri itu boleh dibeli melalui TnG eDompet dan kedai rasmi dalam talian syarikat itu serta platform e-dagang lain seperti Lazada dan Shopee. Menurut syarikat itu, ekosistem TnG kini memiliki 25 juta kad TnG yang aktif, dengan lebih 16 juta pengguna eDompet dan 1.5 juta pengguna tag RFID.
Selain bayaran tol secara elektronik, sistem ini juga akan dimanfaatkan untuk tujuan isian minyak tanpa tunai. TnG dan Shell Malaysia kini sedang menjalankan progrom ujian TnG RFID Isian Semula di lima stesen Shell terpilih di Lembah Klang.
Kerusi keselamatan kanak-kanak kini menjadi aspek keselamatan penting di dalam kenderaan. Juga, tak semua orang mampu untuk menyediakannya untuk ahli keluarga. Kajian oleh Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendedahkan hanya 30% pemandu di Malaysia yang menggunakan kerusi keselamatan berkenaan, dan satu daripada sebabnya adalah kerana harga yang agak mahal bagi keluarga berpendapatan rendah.
Dengan keadaan ekonomi yang tenat ketika ini, ada pihak yang berusaha untuk meringankan beban kelompok yang mungkin memerlukan kerusi keselamatan kanak-kanak berkenaan. SNS Product telah memperkenalkan sebuah usaha untuk membantu keluarga yang memerlukan agar mereka boleh mendapatkan kerusi keselamatan ini. Syarikat berkenaan menawarkan 200 buah kerusi keselamatan kanak-kanak melalui entiti runcitnya, Safe ‘n Sound, dalam satu kempen dikenali sebagai “Kempen Bantuan Car Seat Safe ‘n Sound.”
Kempen berkenaan akan memberi tumpuan untuk melengkapi ibu bapa yang layak dengan cadangan kerusi keselamatan daripada empat jenama yang ikut serta, iaitu Joie, snskidz, mifold dan Axkid, yang mana semuanya mematuhi standard United Nations Regulation (UNR) ECE R44/04. Kerusi berkenaan akan ditetapkan mengikut umur dan berat kanak-kanak, serta sama ada kereta mereka ada menyediakan Isofix atau tidak.
Dalam masa sama, syarikat ini juga ingin memanfaatkan kempen berkenaan dengan cara meningkatkan kesedaran betapa pentingnya penggunaan kerus keselamatan ini dan mendidik ibu bapa berkaitan cara betul untuk menggunakannya.
“Kesedaran penggunaan kerus keselamatan dalam kenderaan di Malaysia agak rendah, dan ini menyumbang kepada kecederaan dan kematian dalam kemalangan, yang sepatutnya boleh kita elakkan dengan penggunaan kerusi keselamatan ini. Semua bayi dan kanak-kanak perlu menggunakan kerusi yang sesuai dengan saiz dan umur mereka, bermula dari yang baru lahir hinggalah kanak-kanak 12 tahun,” ujar pengarah syarikat berkenaan, May Hwong.
Selain memupuk penggunaan kerusi keselamatan ini, syarikat ini juga memberi penekanan terhadap kepentingan cara guna yang betul. “Lebih 90% kerusi kanak-kanak ini sama dan dipasang dengan cara yang salah atau salah cara guna, dan itu tetap membahayakan nyawa kanak-kanak ketika berada di atas jalan. Adalah sangat penting untuk meletakkan kanak-kanak di bawah ketinggian 136 cm dalam kerusi khas, dan perlu juga kedudukannya menghadap ke belakang, selama yang boleh,” tambahnya.
Untuk itu, pakar bertauliah dari syarikat itu berkaitan Child Occupant Safety Advisors (COSA) dan Child Occupant Safety Instructors (COSI) juga boleh memberikan khidmat nasihat percuma dengan cara menilai umur, ketinggian dan berat kanak-kanak serta jenis kenderaan yang digunakan. Pemeriksaan kerusi keselamatan secara percuma juga boleh dilakukan di pusat khidmat pelanggannya untuk memastikan pemasangan yang betul.
“Kempen Bantuan Car Seat Safe ‘n Sound” ini terbuka untuk keluarga yang mempunyai anak baru lahir hingga 12 tahun dengan pendapatan bulanan isi rumah di bawah RM4,000 dan mempunyai kereta. Ibu bapa yang berminat boleh dan mengisi borang ini. Maklumat lanjut berkaitan kempen berkenaan ada di sini.
Puspakom telah mendapat ada segelintir pelanggannya yang tidak mendaftar masuk (check in) menerusi aplikasi MySejahtera sewaktu berkunjung ke cawangannya, dan ada yang menulis informasi palsu dalam buku log. Sekaligus membuatkan pengesanan kontak sekiranya berlaku kes Covid-19 agak di premis berkenaan agak sukar untuk dilakukan.
Susulan perkara tersebut, Puspakom mengambil keputusan untuk hanya membenarkan pelanggan yang mendaftar masuk menerusi aplikasi MySejahtera dan diklasifikasikan sebagai ‘low risk'(risiko rendah) untuk memasuki mana-mana cawangan. Ini bermakna tiada lagi penggunaan buku log secara manual akan disediakan.
Dalam masa yang sama, Puspakom turut mengumumkan pembukaan semula beberapa cawangan yang sebelum ini ditutup untuk kerja-kerja disinfeksi dan sanitasi pada awal bulan ini. Puspakom Sungai Petani di Kedah telah pun mula beroperasi sejak 9 Ogos lalu, manakala Puspakom Johor Bahru dan Taman Daya di Johor kembali dibuka semalam. Manakala Puspakom Cheras pula kembali beroperasi pada hari ini. Waktu operasi adalah dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.
Seperti yang dimaklumkan beberapa hari lalu, tempoh lanjutan dokumen dan transaksi JPJ bakal berakhir pada 30 September ini, ini termasuklah cukai jalan dan lesen memandu, laporan Puspakom (B2, PG11A, PG13B dan B5 untuk tukar hak milik) dan pemeriksaan berjadual. Justeru, September ini adalah bulan terakhir untuk anda menempah slot temujanji dan urusan berkaitan Puspakom yang telah pun dibuka minggu ini.
“Para pelanggan dinasihatkan agar tidak melakukan urusan di saat akhir, untuk mengelakkan tempahan slot temujanji penuh. Sila aturkan temujanji anda lebih awal pada bulan ini, terutamanya untuk pemeriksaan kenderaan yang tamat tempoh pada Jun dan Julai,” ujar Puspakom.
Dalam masa yang sama, orang ramai dinasihatkan untuk terus mematuhi segala SOP yang ditetapkan dan jangan lupa untuk check in di aplikasi MySejahtera setiap kali memasuki mana-mana premis. Pastikan aplikasi MySejahtera sentiasa boleh berfungsi dan anda juga disarankan membawa power bank untuk mengecas telefon anda apabila diperlukan.
Kumpulan Automotif Naza menggesa kerajaan untuk membenarkan semula sektor automotif tempatan untuk menyambung operasi dalam kadar segera, selepas dua setengah bulan PKP penuh dikenakan. Dalam satu kenyataan, syarikat itu menegaskan bahawa keseluruhan rantaian bekalan sektor berkenaan telah terkesan dengan teruk, terutama selepas penutupan penuh operasi perkilangan sejak awal Julai lalu.
CEO syarikat itu, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, banyak syarikat dengan peranan sangat penting terhadap pengeluaran dan rantaian bekalan terletak di Selangor dan Kuala Lumpur. “Gangguan lebih lama terhadap perniagaan serta rantaian bekalan akan memberi kesan buruk kepada industri, terutama dengan pergantungan besar industri automotif terhadap pasaran domestik,” ujarnya.
“Penutupan berterusan terhadap jualan kenderaan, pengeluaran dan pengedaran kenderaan, komponen dan alat ganti, penutupan bilik pameran dan pusat edaran, serta penutupan penuh operasi akan membawa kesan penutupan perniagaan, terutama bagi pemain industri yang lebih kecil peranannya.”
“Situasi semasa ketika ini bukan hanya tentang menyusahkan pelanggan, sebaliknya boleh melibatkan risiko kepada pemilik kenderaan akibat penggunaa berterusan dan kenderaan yang tidak diselenggara dengan betul serta kegagalan menggantikan alatan yang perlu mengikut jadual,” jelas kenyataan itu.
UMW Toyota Motor melalui Presidennya, Ravindran Kurusamy turut menyuarakan hal yang sama berkaitan penutupan semua bilik pameran Toyota dan Lexus telah membuatkan syarikat itu tidak dapat menjalankan sebarang perniagaan. KL dan Selangor kekal dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang menetapkan kekangan ketat terhadap semua sektor ekonomi. Timbalan Pengerusinya, Akio Takeyama menambah, jika keadaan ini berterusan, ia tidak hanya akan memberik kesan kepada kenderaan komersial, yang sangat penting dalam tugas-tugas logistik di seluruh negara.
“Tambahan pula, perniagaan eksport juga akan terus terkesan memandangkan anak syarikat kami mengeksport dalam jumlah yang agak banyak melibatkan komponen automotif, sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global Toyota. Jika keadaan begini kekal, kami khuatir pelanggan kami di luar akan mencari pembekal lain memandangkan mereka tidak boleh menangguh pengeluaran mereka akibat kekurangan alatan komponen dari Malaysia. Ini juga akan memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia sekiranya jumlah eksport semakin menurun,” tambahnya.
Setelah beberapa pemain utama sektor automotif tempatan menyuarakan gesaan terhadap kerajaan agar membenarkan sektor berkenaan memulakan semula operasi dalam masa terdekat, kerajaan dalam satu kenyataan yang baru dikeluarkan akhirnya bersetuju untuk memberikan kelonggaran itu, termasuk bagi negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.
Bermula Isnin, 16 Ogos 2021, beberapa sektor berkaitan automotif seperti pengilangan/pembuatan, pusat pengedaran dan bilik pameran serta pusat cuci kenderaan dibenarkan untuk beroperasi semula. Tetapi, ada syarat atau SOP baru yang perlu dipatuhi — bagi kunjungan ke bilik pameran misalnya, hanya pelanggan yang sudah lengkap dua dos vaksin (dan selepas 14 hari bagi dos kedua) sahaja yang boleh berkunjung secara fizikal ke premis.
Satu lagi syarat yang ditetapkan kerajaan berkaitan vaksin ini untuk kelonggaran terbaru ini adalah, ia hanya diberikan kepada negeri yang sudah menyaksikan lebih 50% populasi dewasa mereka telah selesai menerima suntikan vaksin tersebut. Ini bermakna, Selangor dan juga Kuala Lumpur (yang menjadi negeri utama lokasi kilang-kilang automotif di Malaysia) akan termasuk dalam senarai ini dan boleh beroperasi.
Sebelum ini, beberapa kilang yang berada dalam negeri Fasa 2 dan 3 PPN telahpun dibenarkan beroperasi di bawah syarat-syarat tertentu. Kini, kelonggaran sama dilanjutkan kepada negeri-negeri Fasa 1; kilang mereka boleh beroperasi hingga kapasiti penuh, bergantung kepada kadar vaksinasi seperti dinyatakan.
Setakat 14 Ogos 2021, sejumlah kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang sudah mencapai 64.7% kadar yang telah divaksin. Untuk itu, individu yang telah lengkap dua dos vaksin (dan lengkap 14 hari selepas dos kedua) boleh memanfaatkan kemudahan atau kelonggaran terbaru ini.
Selain Lembah Klang, negeri-negeri lain yang juga sudah melebihi kadar 50% pemvaksinan terhadap populasi dewasa termasuk Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis dan Labuan. Dalam kenyataan yang sama juga turut menjelaskan, perincian garis panduan bagi bagi kemudahan-kemudahan yang baru diumumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN dalam masa terdekat.
🔥 BAYARAN BOOKING HANYA SERENDAH RM500 SAHAJA!!! 🔥
✅ Bayar Booking serendah (RM500 only) ✅ Loan Senang Dan Cepat ✅ Graduan Amat Dialu Alukan ✅ Harga Trade In Yang Terbaik ✅ Door to Door service ✅ Penghantaran Percuma . . 🆙🆙BULANAN TERENDAH 🆙🆙